Aktivis Indonesia - Nama
lengkap beliau adalah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah
bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali, yang lahir pada hari Isnin, 10
Rabiul Awwal 66l H. (22 Januari 1263 M) di Harran. Ayah beliau adalah seorang
alim ahli agama, seorang besar dalam bidang agama Islam, iaitu Syihabuddin Abu
Ahmad Halim Ibnu Taimiyah. Ayah beliau ini adalah seorang Imam Muhaqqiq yang banyak
ilmunya, meninggal tahun 681H Neneknya adalah Syeikhul Islam, Majduddin Abul
Barakat Abbas Salam Ibnu Taimiyah, seorang Hafiz Hadith yang ternama.
Kerana
diburu oleh bangsa Monggol, maka ayah beliau pindah ke Damaskus dengan seluruh
keluarganya. Di Damaskus itulah beliau mempelajari agama Islam, yang ternyata sebagai
anak yang cerdas. Guru beliau antara lain adalah ulama besar yang bernama Zainuddin
Abdul Daim Al-Mukaddasi, Najmuddin Ibnu Asakir, dan seorang ulama perempuan
terkenal, Zainab binti Makki, dan sebagainya yang lebih dari seratus guru lagi banyaknya.
Beliau
kuat ingatan, cepat hafal, lekas faham, dan tidak bosan membaca serta tidak pernah
beristirehat di dalam menambah ilmu, juga dalam perjuangannya.
Setelah
ayah beliau meninggal dunia, beliau menggantikan ayah beliau mengajarkan ilmu fiqh
dalam mazhab Hambali dan dalam ilmu tafsir. Pada tahun 691H. (1292 M) beliau pergi
haji, dan di Kota Makkah beliau bertemu dengan ramai ulama besar. Ramai ulama yang
beliau tinggalkan namanya kerana salah dalam sesuatu debat dan pendapat di
dalam masalah hukum.
Itulah
Ibnu Taimiyah, ulama besar yang merengkuk dalam penjara Mesir. Baru saja beliau
bebas dari penjara, kemudian ditangkap lagi dan dipenjarakan yang kedua kalinya
selama setengah tahun lagi. Sebabnya kerana beliau menulis sebuah kitab yang
isinya tentang masalah ketuhanan yang tidak disetujui oleh para ulama. Di
dalam, penjara yang hanya setengah tahun itu beliau berhasil menginsafkan
banduan yang merengkok bersama beliau sehingga semua yang insaf itu menjadi
pendukung beliau dan menjadi pengikut yang setia. (Ada sumber yang mengatakan bahawa
di penjara yang kedua ini selama satu setengah tahun lagi lamanya).
Adapun
isi kitab yang menyebabkan beliau di penjara yang kedua itu adalah beliau menentang
ajaran Tasawwuf Ittihadiyah yang menyatakan bahawa Allah boleh hulul (bertempat)
dalam tubuh makhluk. Jelasnya kepercayaan hulul ialah kepercayaan bahawa Allah
bersemayam dalam tubuh salah seorang yang memungkinkan untuk itu kerana kemurnian
jiwanya atau kesucian rohnya. Adapun kepercayaan ittihad (Al-lttihad) ialah kepercayaan
tentang Allah yang dapat bersatu dengan manusia. Apabila telah terjadi ittihad,
maka orang yang bersangkutan tak sedar diri.
Hal
ini mereka namakan makwu, atau sampai kepada tingkat lenyapnya zat yang fana dengan
Zat Allah yang baqa. Kalau sudah sampai tingkat yang begini, maka segala yang diucapkan
tidak terkena hukum syirik walaupun pada zahirnya syirik, kerana orang yang mengucapkan
itu sedang dalam keadaan sukar atau mabuk kepayang. Di antara kaum sufi dan
Guru Thariqat mempercayai melancarkan faham ini adalah Umar Ibnul Faridh dan Ibnu
‘Ath’allal.
Itulah
faham sesat yang beliau tentang, tetapi beliau bahkan di penjara selama satu setengah
tahun di Syam. Baru beberapa hari keluar dari penjara yang kedua, ia ditangkap lagi
dan dipenjarakan selama lapan bulan lamanya di Aleksandria, kerana fatwa beliau
pula yang tidak sesuai dengan faham para ulama.
Keluar
dari penjara Aleksandria, beliau dipanggil oleh Sultan Nashir Qalaun untuk memberikan
fatwa di muka umum. Sebabnya sampai sikap sultan demikian ialah kerana sultan
senang terhadap sifat terus-terang beliau. Beliau bersedia memberikan fatwa
atau ceramah di muka umum, dan ternyata fatwa beliau itu menggemparkan para
ulama yang bermazhab Syafi’e, namun beliau tetap dikasihi oleh Sultan. Bahkan
beliau mendapat tawaran menjadi professor pada sebuah Sekolah Tinggi yang
didirikan oleh Putera Mahkota.
Dalam
tahun 1313 beliau diminta untuk memimpin peperangan lagi ke Syiria. Beliau diangkat
menjadi professor lagi dalam sebuah Sekolah Tinggi, tetapi pada bulan Ogos 1318
beliau dilarang mengeluarkan fatwa oleh Penguasa, padahal fatwa-fatwa beliau
itu diperlukan umat saat itu. Dengan diam-diam para murid beliau mengumpulkan
fatwafatwa beliau yang cemerlang itu dan berhasil dibukukan, kemudian dicetak,
yang bernama “Fatwa Ibnu Taimiyah” Alangkah sedih hati rakyat yang ternyata
masih ramai yang mencintai beliau.
Mereka
tetap mendatangi beliau minta fatwa-fatwa, terlebih lagi rakyat baru lepas rindunya
terhadap beliau yang baru pulang ke Kota Damsyik yang beliau tinggalkan selama
lebih dari tujuh tahun, dalam waktu itu beliau hidup dari penjara ke penjara.
Beberapa
waktu kemudian beliau ditangkap lagi dan dipenjarakan yang keempat kalinya selama
lima bulan lapan hari.
Demikianlah
hidup beliau, dari penjara ke penjara. Semua perkara yang dijadikan masalah
telah beliau keluarkan fatwanya. Soal talak tiga di dalam satu majlis hanya
satu yang jatuh, tentang beliau melarang berziarah ke Masjid atas kubur keramat
kecuali Masjid Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dan Baitul Muqaddis
di Jerusalem. Juga sekitar masalah keTuhanan dan memurnikan ajaran Islam,
mengamalkan ibadah yang murni menurut faham yang terdahulu, iaitu faham salaf.
Juga masalah syirik dan bid’ah yang membahayakan akidah Islam beliau tentang,
agar Islam kembali kepada kemurniannya seperti zaman salaf.
Yang
terakhir beliau ditangkap lagi atas perintah Sultan dalam bulan Sya’ban 726 H. (Julai
1326 M) dan kemudian dipenjarakan yang kelima kalinya selama 20 bulan. Kali ini
kamar tahanannya amat sempit dan bertembok tebal. Dalam kamar tahanannya itu
beliau tetap menulis, kerana menulis itu yang membawa kebahagiaan bagi beliau.
Beliau dilarang berfatwa kemudian menulis, bahkan isi tulisannya sangat bagus.
Maka
walaupun beliau hidup dalam lingkungan tembok penjara yang tebal, tetapi hati beliau
tidak sedih dan tidak pula gundah. Dalam penjara inilah beliau berkata yang kemudian
terkenal sampai sekarang, iaitu: “Orang yang terpenjara ialah yang dipenjara syaitan,
orang yang terkurung ialah orang yang dikurung syaitan. Dan dipenjara yang sebenarnya
ialah yang dipenjarakan hawa nafsunya. Bila orang-orang yang memenjarakan saya
ini tahu bahawa saya dalam penjara ini merasa bahagia dan merasa merdeka, maka
merekapun akan dengki atas kemerdekaan saya ini, dan akhirnya mereka tentulah
mengeluarkan saya dari penjara ini.”
Setelah
petugas tahu bahawa beliau dalam penjara terus menulis, maka semua kitab dan alat-alat
tulis beliau dirampas dan dikeluarkan dari kamar penjara. Itulah hukuman yang paling
kejam bagi beliau. Keadaan ini beliau terima dengan hati sedih dan bercucuran
air mata.
Dalam
penjara terakhir ini beliau bersama dengan para murid beliau yang juga dimasukkan
dalam tahanan. Namun semua pengikut beliau yang ditahan itu telah dibebaskan,
kecuali seorang murid beliau yang paling setia yang masih menyertai beliau dalam
penjara, iaitu Ibnul Qayyim Al-Jauziyah (691-751H).
Setelah
tidak boleh menulis lagi, beliau pun mengambil kitab suci Al-Quran yang tidak ikut
dirampas. Beliau baca Al-Quran itu sampai penat, kemudian berzikir dan solat, membaca
Al-Quran lagi bertilawat, kemudian solat dan berzikir. Demikianlah yang beliau kerjakan,
sehingga sejak beliau tidak boleh menulis telah menamatkan (mengkhatamkan) membaca
Al-Quran 80 (lapan puluh kali).
Dan
ketika beliau membaca akan masuk ke 81 kalinya, tetapi ketika sampai kepada
ayat yang ertinya,” ... Sesungguhnya orang yang muttaqin itu akan duduk di
dalam syurga dan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, di dalam kedudukan
yang benar, pada sisi Tuhan Allah Yang Maha Kuasa.” Beliau pun tidak dapat
meneruskan bacaannya lagi, kerana jatuh sakit selama 20 hari.
Saat
itu beliau telah berusia 67 tahun, dan telah merengkuk dalam penjara yang
terakhir itu selama lebih dari 20 bulan lamanya, dan ketika itu sakit beliau
semakin bertambah.
Orang
ramai tidak mengetahui bahawa beliau dalam keadaan sakit, kerana yang mengurus
diri beliau hanyalah Ibnul Qayyim Al-Jauziyah muridnya yang setia. Baru setelah
muadzin berseru dari atas menara bahawa beliau telah pulang ke rahmatullah, berduyun-duyun
orang mengerumuni gerbang penjara.
Ramai
orang yang terisak menangis dan meratapi kematian beliau. Juga ramai orang yang
ingin mengambil berkah dari hanya melihat wajah beliau, memegang jenazah beliau
dan bahkan ada yang mencium beliau.
Beliau
meninggal dunia hari Isnin, 20 Zul Kaedah 728 H. (26-28 September 1328 M), dalam
usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan
nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca
Al-Quran.
Walaupun
begitu beliau seorang yang banyak dibenci terutama oleh mereka yang bermazhab
Syafi’e, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan
15,000 orang wanita.
Demikianlah
akibat yang dialami oleh beliau dalam memperjuangkan kebenaran, demi tegaknya
agama Islam di atas dunia. [daarut-tauhiid.org]
0 Komentar untuk "Ibnu Taimiyah Sorang yang alim dan ahli Agama"